Tuna Dilelong Dengan Harga RM5.5 Juta



TOKYO – Seekor tuna sirip biru gergasi mencatat sejarah apabila ia dilelong pada harga AS$1.8 juta (RM5.5 juta) dalam satu majlis lelongan pertama di pasar ikan Tsujiki, dekat sini semalam.

Harga tersebut adalah tiga kali ganda berbanding rekod jualan tahun lalu iaitu AS$640,000 (RM1.9 juta). Ikan seberat 222 kilogram itu ditangkap di perairan Oma, utara Jepun. Pasar ikan Tsujiki sering mengadakan acara lelongan ikan dan menjadi antara lokasi kegemaran pelancong asing.

Ikan itu dibeli oleh Kiyoshi Kimura, presiden dan pemilik syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai. Kimura juga memenangi bidaan ikan tuna sirip biru pada tahun lalu.

“Saya mahu memenuhi ekspektasi pelanggan yang ingin menikmati tuna terbaik Jepun pada tahun ini. Dengan tuna ini, saya harap dapat menceriakan rakyat Jepun,” kata Kimura yang dipetik daripada akhbar Jiji Press.

Berdasarkan kepada harga itu, sekilogram ikan tuna tersebut berharga sekitar 700,000 yen (AS$7,940 atau RM24,180). Maka, sekeping sushi yang menggunakan ikan itu boleh mencecah harga kira-kira 30,000 yen (AS$340 atau RM1,036).

Namun, Kimura menyatakan dia tidak akan menjual sushi pada harga begitu mahal. Sebaliknya hanya dijual pada harga lebih realistik iaitu 398 yen (AS$4.50 atau RM13.75). – AFP

Isteri Wayne Rooney Kehilangan Adik




London – Adik perempuan kepada isteri penyerang Manchester United, Coleen Rooney meninggal dunia pada usia 14 tahun selepas sekian lama menderita dengan pelbagai penyakit.

Rosie, yang menderita penyakit Rett Syndrome, menghembuskan nafasnya di rumah keluarga Coleen, pagi tadi.

Biappun Rosie hanya anak angkat kepada keluarga Coleen, namun mereka menatangnya dengan penuh kasih sayang selepas dia ditempatkan bersama keluarga berkenaan ketika berusia dua tahun.

Selama ini, Rosie sentiasa ditemani kakaknya, Coleen selepas budak berkenaan tidak mampu untuk bercakap, berjalan dan hanya disuapkan makan melalui tiup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wayne Rooney, bagi pihak isterinya memaklumkan, keluarga berkenaan amat bersedih dengan kehilangan remaja berkenaan.

“Dia merupakan seorang remaja yang amat kami sayang dan merupakan seorang yang tabah.

“Rosie juga memberikan inspirasi kepada kami,’’ ujar kenyataan berkenaan.

Kehadiran Rosie dalam keluarga berkenaan tidak pernah dianggap sebagai membebankan malah mereka sentiasa menyayanginya.

Rosie dijadikan anak angkat oleh keluarga Coleen ketika berusia dua tahun, namun ketika itu mereka tidak mengetahui bahawa Rosie menghidap penyakit serius.

Ketika diserahkan kepada keluarga berkenaan, Rosie boleh merangkak dan bermain dengan mainannya, namun selepas beberapa ketika, dia mula berhenti merangkak, malah tanggannya tidak lagi berfungsi.

Malah Rosie juga sering tercekik ketika makan dan akan memuntahkan makanan berkenaan.