
London – Adik perempuan kepada isteri penyerang Manchester United, Coleen Rooney meninggal dunia pada usia 14 tahun selepas sekian lama menderita dengan pelbagai penyakit.
Rosie, yang menderita penyakit Rett Syndrome, menghembuskan nafasnya di rumah keluarga Coleen, pagi tadi.
Biappun Rosie hanya anak angkat kepada keluarga Coleen, namun mereka menatangnya dengan penuh kasih sayang selepas dia ditempatkan bersama keluarga berkenaan ketika berusia dua tahun.
Selama ini, Rosie sentiasa ditemani kakaknya, Coleen selepas budak berkenaan tidak mampu untuk bercakap, berjalan dan hanya disuapkan makan melalui tiup.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wayne Rooney, bagi pihak isterinya memaklumkan, keluarga berkenaan amat bersedih dengan kehilangan remaja berkenaan.
“Dia merupakan seorang remaja yang amat kami sayang dan merupakan seorang yang tabah.
“Rosie juga memberikan inspirasi kepada kami,’’ ujar kenyataan berkenaan.
Kehadiran Rosie dalam keluarga berkenaan tidak pernah dianggap sebagai membebankan malah mereka sentiasa menyayanginya.
Rosie dijadikan anak angkat oleh keluarga Coleen ketika berusia dua tahun, namun ketika itu mereka tidak mengetahui bahawa Rosie menghidap penyakit serius.
Ketika diserahkan kepada keluarga berkenaan, Rosie boleh merangkak dan bermain dengan mainannya, namun selepas beberapa ketika, dia mula berhenti merangkak, malah tanggannya tidak lagi berfungsi.
Malah Rosie juga sering tercekik ketika makan dan akan memuntahkan makanan berkenaan.
No comments: